Menurut laporan agensi berita AFP, kontrak utama New York, minyak berkualiti tinggi Light Sweet untuk penghantaran Disember naik AS$0.29 (RM1.02) kepada AS$61.06 (RM216.15) meningkat daripada penutup dagangan di Amerika Syarikat (AS) pada paras AS$60.77 (RM215.12) setong semalam.
Minyak mentah Brent North Sea untuk penghantaran Disember naik AS$0.08 (RM0.28) kepada AS$57.51 (RM203.58) berbanding AS$57.43 (RM203.30) pada penutup dagangan semalam.
Kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi global kembali meningkat selepas Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata, ekonomi negara-negara maju akan menyusut sebanyak 0.3 peratus pada 2009 buat pertama kalinya sejak Perang Dunia Kedua.
Sebelum ini IMF menjangkakan pertumbuhan ekonomi adalah sebanyak 0.5 peratus.
Harga minyak telah jatuh daripada paras tertinggi melebihi AS$147 (RM520.38) setong pada Julai lalu berikutan kebimbangan pertumbuhan global yang lembap terutama di AS akan menyebabkan penurunan permintaan terhadap tenaga. AS merupakan pengguna terbesar tenaga.
''Isu yang besar kepada para pelabur adalah keadaan semasa ekonomi global.
''Seluruh dunia tidak akan terlepas daripada masalah ini,'' kata Penganalisis State Street Global Markets, penyelidik pelaburan dan perdagangan AS.
Khamis lalu, Bank Pusat Eropah dan Bank of England merupakan antara bank pusat terbaru yang menurunkan kadar faedah dalam usaha memulihkan ekonomi mengikuti jejak yang sama dilakukan oleh bank-bank pusat di Asia dan Rizab Persekutuan AS.
Penganalisis berkata, penurunan kadar faedah secara mendadak oleh Bank of England menunjukkan keadaan semasa adalah lebih buruk berbanding anggapan sebelum ini.
''Kebimbangan sekarang adalah situasi ini akan menjadi lebih buruk daripada sangkaan awal,'' kata Pakar Strategi Pasaran di City Index, Joshua Raymond .
Ekonomi Britain berada di ambang kemelesetan selepas menyusut buat pertama kalinya sejak 1990 pada suku ketiga.
Sementara itu, Agensi Tenaga Antarabangsa pada Rabu lalu berkata, harga minyak dijangkakan akan mengalami pantulan melebihi paras AS$100 (RM354) dan seterusnya mencecah harga AS$200 (RM708) pada 2030.
0 comments:
Post a Comment