RESTORAN Pak Datuk yang menyajikan masakan asli Minang adalah satu nama gah di beberapa daerah di Sumatera, Indonesia seperti Dumai, Batam dan Padang Panjang lantaran keenakan hidangannya.
Kini penduduk negara ini, khasnya warga Melaka, boleh dianggap beruntung kerana tidak perlu bersusah payah ke negara seberang untuk menikmati keenakan makanan minang Restoran Pak Datuk apabila cawangannya dibuka di Taman Melaka Raya, Bandar Hilir, Melaka, baru-baru ini.
Pengurusnya, Suriyani Reke Dt Mudo, 30, berkata Restoran Pak Datuk diwarisi turun temurun sejak 1978 dan cawangannya di Melaka adalah yang pertama dibuka di luar Indonesia.
Menurutnya, Melaka menjadi pilihan kerana faktor geografi negeri itu yang hampir dengan Dumai, selain menyedari citarasa masyarakat Malaysia yang gemar menikmati masakan asli Minang.
“Saya gembira kerana dapat merealisasikan cita-cita bapa yang berhajat membuka kedai di Malaysia dan Melaka ada kelebihan kerana negeri ini sering jadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata, semua hidangan di Restoran Pak Datuk di Taman Melaka Raya menggunakan resipi asli dengan bahan mentah dan rempah ratus dibawa khas dari Dumai.
“Inilah jaminan saya, pelanggan Malaysia yang menggemari makanan Minang akan menikmati masakan yang 100 peratus sama dengan restoran kami di Sumatera,” katanya.
Suriyani berkata, antara menu istimewa ialah masak rendang dan gulai ayam kampung, daging dendeng, ikan keli bakar, soto padang, pempek, ayam goreng bumbu dan pepes ikan.
“Pelanggan juga disajikan menu ikan danau iaitu sejenis ikan air tawar bersaiz kecil seperti ikan bilis yang hanya ditemui di sebuah tasik di Dumai. Ikan ini digoreng garing dan rangup dan enak dimakan bersama nasi dan gulai ayam,” katanya.
Ruang dalam restoran cukup selesa untuk pelanggan menjamu hidangan, sama ada secara berkumpulan atau individu, dan mereka boleh memilih ruang terbuka atau berhawa dingin.
Suriyani berkata, untuk memastikan kelancaran operasi restorannya, dia dibantu 10 pekerja, masing-masing lima pekerja tempatan dan Indonesia, termasuk pelayan dan tukang masak.
Katanya, dia sendiri menyediakan bahan dan ramuan setiap masakan bagi menjamin keasliannya sebelum dimasak pekerja.
“Saya belajar memasak dengan ibu sejak berusia 15 tahun dan pada 2005, saya mula buka restoran sendiri bersama suami di Duri, Dumai.
“Saya ada 10 beradik, lapan perempuan dan dua lelaki. Semua adik beradik perempuan dalam keluarga saya mahir memasak,” katanya
2 comments:
Bagi la alamat restoran bro... Ni membebel2 lepas tu orang tak tau lokasi restoran kat mana pun tak guna kalau buat blog
Alhamdulillah ada restoran padang ori di Melaka. Nnti nak pg restoran tu, Restoran Pak Datuk kan
website sy
www.asmahabubakar.com
Post a Comment