Menjelang 14 Februari, kaum Nasrani dan masyarakat Barat sibuk meraikan Hari Valentine. Hari Kekasih yang disandarkan secara sejarahnya kepada Valentine of Rome, peristiwa mengenang Saint Valentine yang dikebumikan di Via Flaminia sekitar tahun 269M. Hari Valentine yang mengalami pelbagai penafsiran di sepanjang sejarah Eropah Moden akhirnya menjadi hari memuja kekasih, tidak terhad hanya kepada nilai, cara hidup dan kaum Nasrani di Barat, malah akhirnya menyerap sebagai budaya kaum Asia.
Malang sekali, ritual yang tidak punya sebarang kaitan dengan kita sebagai kaum Muslimin, sedikit demi sedikit terserap sebagai budaya dan amalan anak-anak muda kita.
Perlu ditegaskan, seorang suami berkewajipan menghargai sang isteri, begitu juga seorang isteri terhadap suaminya. Ia adalah sebesar-besar ajaran Islam. Namun penghargaan yang ingin diberi, telah ada caranya menurut ajaran Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Tidak seharusnya kita mengambil ritual kaum lain, apatah lagi dosa di atas dosa, tatkala penghargaan itu adalah pada sebuah perhubungan di luar akad perkahwinan!
Ingatlah amaran Allah Subhanahu wa Ta’aala:
“Para kekasih dan teman akrab, pada hari itu, akan saling menjadi musuh di antara satu sama lain, kecuali mereka yang bertaqwa” [al-Dzukhruf 43: 67]
Para kekasih yang berkasih dalam belenggu dosa, kasihnya hanya hiasan nafsu di dunia. Di akhirat kelak, tatkala para kekasih ini berdepan dengan keputusan Allah ke atas mereka, setiap seorang akan bermusuhan dengan orang yang pernah dikasihinya, kerana masing-masing mahu menyelamatkan diri. Hanya yang bertaqwa sahaja beroleh jemputan berikut:
(Mereka - yng bertaqwa - itu, diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firmanNya): “Wahai hamba-hamba-Ku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan dan kamu pula tidak akan berdukacita”.(Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan kami, serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh,
70. (Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke dalam syurga bersama-sama isteri-isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan” [al-Dzukhruf 43 : 68-4-70]
Jika mahu membalas cinta, balaslah dengan cara yang menyampaikan dua kekasih itu ke syurga. Bukan cinta berbalas dosa.
0 comments:
Post a Comment