Monday

Kenali Calon Kita P036 Kuala Terengganu



Nama: Harun @ Abd Rahman Mohamad,
Umur: 63 tahun
Isteri: Zainab Salleh, 56
Anak: Tiga orang (2 perempuan, 1 lelaki)
Pendidikan: Sekolah Menengah Sultan Zainal Abidin; Melanjutkan pengajian dalam jurusan agama di sebuah sekolah pondok di Johor


PILIHAN Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari depan, bakal menyaksikan calon dari parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), turut mengambil bahagian apabila mengisytiharkan Naib Presidennya, Harun @ Abd Rahman Mohamad, sebagai calon.

Harun atau lebih dipanggil Pak Man, 63, yang memegang jawatan sebagai Naib Presiden Akim sejak setahun lalu, memiliki tiga cahaya mata hasil perkahwinannya dengan Zainab Salleh, 56.

Anak kelahiran Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Zainal Abidin dalam jurusan agama sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang sama di sebuah sekolah pondok di Johor, selama tiga tahun.

Minatnya terhadap politik mula berputik pada 1956, selepas mendapat inspirasi apabila melihat ketokohan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.

Kesungguhannya dalam bidang politik bermula dengan menyertai Pemuda Umno di tempat kelahirannya dengan hasrat membantu masyarakat setempat.

Bagaimanapun, selepas kewujudan Pas, beliau beralih arah kepada perjuangan parti itu tetapi tidak kekal lama dan mengambil keputusan meninggalkan parti itu yang didakwa seperti sudah kehilangan arah.

Sebelum beralih kepada Akim, Harun pernah menubuhkan beberapa parti Bebas termasuk Hisbul Muslimin (Hamim), namun tidak mendapat sokongan rakyat sehingga mendorongnya menyertai Akim sebelum dilantik menjadi Naib Presiden.

Beliau pernah menjadi bekas ahli jawatankuasa Pas Kawasan Kuala Terengganu dan bekas Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum Mac lalu.

Beliau menyifatkan pencalonannya untuk mewakili Akim pada pilihan raya kecil itu nanti adalah peluang terbaik untuk berbakti kepada rakyat Kuala Terengganu walaupun terpaksa berdepan saingan sengit daripada parti lain, khususnya Umno dan Pas.


Mohd Abdul Wahid Endut

Umur: 52
Isteri : Wan Fatimah Wan Abdullah
Pekerjaan: Guru
Anak: Sembilan

Kelayakan Akademik:

* Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu
* Ijazah Perikanan & Maritim, Universiti Putra Malaysia (UPM)


Jawatan Politik:

* Bendahari Pas Terengganu
* Yang Dipertua Pas, Kuala Terengganu


Jawatan Kerajaan:

* Exco Pembangunan Usahawan dan Belia Negeri (1999-2004)



MOHD Abdul Wahid Endut, 52, adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, satu daripada empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuala Terengganu.

Abdul Wahid menjadi Adun sejak lima penggal dari tahun 1990 dan pernah sepenggal menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco), ketika Pas mentadbir Terengganu pada 1999 hingga 2004.

Abdul Wahid boleh dianggap sebagai anak didik Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali kerana kerusi Wakaf Mempelam yang beliau wakili hingga kini adalah kerusi yang dimenangi oleh Mustafa ketika PAS melakukan 'comeback' di Terengganu pada 1982.

Anak jati Terengganu ini dilahirkan pada 29 September 1957 di Kampung Pulau Rusa dan kini menetap di Kampung Seberang Baruh Kiri, Jalan Kelantan, Kuala Terengganu.

Beliau mempunyai seorang isteri bernama Wan Fatimah Wan Abdullah bersama 9 orang anak, yang terdiri daripada dua lelaki dan tujuh orang perempuan. Isterinya seorang warga pendidik di sebuah sekolah kerajaan di negeri ini.

Abdul Wahid mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, sebelum melanjutkan ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu dan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) (kini dikenali Universiti Putra Malaysia).

Beliau juga mempunyai pengalaman bekerja sebagai Pegawai Tadbir di UPM dan menjalankan perniagaan berasaskan pertanian sebelum berkecimpung sepenuh masa sebagai ahli politik.

Dalam parti, beliau kini adalah Yang Dipertua Pas, Kuala Terengganu dan Bendahari Badan Perhubungan Pas negeri Terengganu. Selain itu, pengalamannya dalam parti PAS pernah memegang jawatan Bendahari Dewan Pemuda Pas Pusat dan Ketua Pemuda Pas Terengganu dari tahun 1991 hingga 1993.

Prinsip perjuangan beliau ialah, "Usah sekali-kali mencari musuh, tetapi jika musuh datang kita akan menghadapinya."

Beliau dipilih sendiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menjadi calon parti itu bagi merebut kembali kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang sudah ditawan BN selama dua penggal sejak 2004. Pemilihan Abdul Wahid diputuskan sesudah mendapat restu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pemilihan beliau sebagai calon parti mengejutkan ramai pihak sama ada dalam Pas, mahupun saingannya dalam Umno. Sebelum ini, nama yang paling disebut-sebut sebagai calon Pas ialah Adun Batu Buruk, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi dan Mustafa Ali.




Nama: Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh
Tarikh lahir: 13 November 1962
Umur: 46 tahun
Isteri: Toh Puan Intan Baizura Abdul Wahab, 40
Anak:

* Wan Syafiqah Iryani, 19;
* Wan Anis Majida, 15;
* Wan Syazana Fasihah, 11;
* Wan Deena Masyitah, 8;
* Wan Nureen Sofia, 5;
* Wan Khaireen Dunnyana, setahun.

Jawatan dalam parti: Ketua Bahagian Umno Kuala Terengganu
Pendidikan: Berkelulusan Undang-Undang dari Universiti Thames Valley, London
Rumah: Suasana Sentral Kondominium, KL Sentral, Kuala Lumpur
Emel: wanfarid@yahoo.com


SENATOR Wan Ahmad Farid, dilahirkan di Jalan Ibrahim, Kuala Terengganu pada 13 November 1962 dan pernah bertugas sebagai Peguam bela dan Peguam cara mulai 1987. Beliau menang jawatan Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu selepas menewaskan Datuk Roslan Awang Chik pada 2004.

Berusia 46 tahun, beliau kini menjadi Ketua Bahagian Umno Kuala Terengganu yang disandangnya sejak dua penggal.

Beliau dilantik Senator pada 2006 dan bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri bermula 1 Januari 2004 hingga 18 Mac 2008, sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri, mulai 19 Mac lalu.

Beliau yang gemar membaca, memiliki kelulusan Undang-Undang dari Universiti Thames Valley, London.

Selain itu, beliau yang juga Presiden Persatuan Badminton Terengganu mempunyai pengalaman dan pembentangan kertas kerja dan menghadiri seminar di beberapa negara.

Antaranya, persidangan Regional Ethics In Leadership di Vietnam pada 2000; pemerhati pilihan raya Presiden Amerika Syarikat atas jemputan Jabatan Negara AS (2000), membentang kertas kerja Ancaman Keganasan Di Asia Tenggara, CSIS, Jakarta (2002).

Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Bengkel Penubuhan Komuniti Asean di Manila di Asean People's Assembly (2002) dan berucap di Institut Rantau Asia dan Pasifik, University of Sydney semasa menjadi tetamu kerajaan Australia pada 2003.

Saturday

Penumpang bas pula kena pakai tali keledar

Pemakaian tali pinggang keledar akan dikuatkuasakan terhadap penumpang kenderaan awam termasuk bas ekspres dalam fasa kedua selepas tamat pelaksanaan fasa pertama ke atas kenderaan persendirian.

Walaupun rancangan fasa kedua itu belum ditentukan masanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah mengkajinya sebagai persediaan awal untuk dilaksanakan.

Ketika ini, JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih menumpukan pelaksanaan undang-undang kenderaan persendirian yang baru dijalankan sejak tiga hari lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, berkata pihaknya akan meneliti, mendapatkan maklum balas mengenai keberkesanan pelaksanaan fasa pertama yang akan dijadikan asas kepada tindakan seterusnya.

"Kita tak boleh jalankan serentak. Nanti bercelaru dan tak boleh fokus, jadi biar kita laksanakan fasa pertama. Apabila semua sudah stabil dan pelaksanaannya tidak banyak masalah, baru kita mulakan peringkat kedua," katanya ketika dihubungi Berita Minggu, semalam.

Beliau mengulas cadangan supaya tindakan saman dan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang belakang turut dikenakan ke atas semua jenis kenderaan, bukan hanya kenderaan persendirian.

Berkuat kuasa 1 Januari lalu, saman maksimum RM300 dikeluarkan serta-merta kepada pemandu atau penumpang kereta yang tidak memakai tali pinggang keledar tempat duduk belakang.

Saman itu dikeluarkan terus kepada penumpang belakang yang berusia 17 tahun ke atas, manakala bagi kanak-kanak atau remaja di bawah usia berkenaan, ia akan diberikan kepada pemandu.

Solah berkata, pihaknya mengambil kira semua aspek dalam melaksanakan peraturan baru kerana ia membabitkan isu keselamatan tanpa mengira jenis kenderaan.

"Ini bukannya bertujuan menyusahkan sesiapa, yang penting menjaga keselamatan pengguna. Sekarang pun kita sudah fikirkan hal itu tetapi perlu juga ambil kira bagaimana nak laksanakan," katanya.


SUMBER BERITA HARIAN 4 JANUARI 2008

Thursday

WAHID ENDUT CALON PAS KUALA TERENGGANU (P036)


Akhirnya calon PAS untuk pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu telah pun diisytiharkan. Beliau adalah seorang yang berpengalaman, disenangi oleh pimpinan PAS negeri, ahli-ahli dan pengundi di Kuala Terengganu. Beliau tidak ditonjolkan atau menonjol sebagai calon terkanan sebelum ini tetapi ternyata beliau pilihan yang tepat untuk berhadapan dengan Senator Wan Farid dari Umno/BN.

Beliau yang dimaksudkan adalah ADUN Wakaf Mempelam, bekas EXCO kerajaan negeri Terengganu ketika PAS memerintah iaitu Sdr Abdul Wahid Endut.

Abdul Wahid, 52 tahun adalah ADUN sejak lima penggal, lulusan UPM dalam bidang perikanan dan sains marin. Beliau memiliki rekod yang cemerlang samada sebagai ADUN atau EXCO selama sepenggal dan sebagai ADUN pembangkang. Hubungan beliau dengan rakyat baik dan begitu juga dengan kakitangan kerajaan, media dan ahli-ahli parti. Ada yang mengumpamakan Wahid sebagai anak didik Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato Mustapha Ali kerana kerusi Wakaf Mempelam yang beliau wakili kini adalah kerusi yang dimemanangi oleh Mustapha ketika PAS melakukan “comeback” di Terengganu pada tahun 1982.

Apa pun ternyata pemilihan Wahid ini menamatkan segala spekulasi dan menurut maklumat yang diterima segala bacaan Umno dan BN tersasar dan kini mereka berhadapan dengan seorang yang berkaliber, tidak kontroversial dan pasti memiliki rekod yang jauh lebih baik dari calon mereka sendiri.

Tahniah YB, tahniah PAS Terengganu mudah-mudahan dengan kerja kuat semua pihak dan bantuan Allah swt, kerusi Kuala Terngganu akan jatuh ke tangan PAS/ Pakatan Rakyat.

Selamat Tahun Baru 2009/1430H

Assalamualikum wbt dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah bersua lagi kita dalam azam 2009 yang baru....
diharap percaturan 2008 yang masih belum sempurna dapat dilangsaikan dengan jayanya pada tahun ini....

Kepada semua pelajar tidak kira dimana sama ada di sekolah mahupun di IPT selamat meneruskan perjuangan dalam mengorak langkah untuk mengejar cita-cita masing-masing.

Diharapkan lembaran 2009 ini akan membuka lembaran baru kepada kita dengan membawa sinar harapan yang tinggi...INSYA ALLAH...
 

Wandi The Blog Copyright © 2009 DarkfolioZ is Designed by Bie Blogger Template for Ipietoon
In Collaboration With fifa